Sungai Petani: Polis mendapat perintah tahanan reman empat hari ke atas 18 pelajar di sini yang dipercayai ada kaitan kumpulan kongsi gelap Satu Hati atau Geng 35.
Majistret Mahkamah Sungai Petani, Adibah Husna Zainal Abidin yang mengeluarkan perintah itu membenarkan semua suspek berusia 15 hingga 17 tahun itu direman bermula hari ini hingga 8 Mei ini bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966.
Semua pelajar yang beruniform sekolah itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada 9.30 dengan kenderaan polis.
Ketika sampai, seorang daripada mereka menjerit ke arah jurugambar sambil menunjukkan isyarat lucah dan menggeluarkan kata-kata kesat.
Suasana di pekarangan bilik lokap mahkamah juga dipenuhi hampir 60 ahli keluarga pelajar terbabit dari dua sekolah menengah di Taman Ria Jaya di sini.
Harian Metro hari ini melaporkan mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat Dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Kontinjen negeri, semalam selepas gambar mereka meraikan penubuhan Satu Hati atau Geng 35 tular di laman sosial.
Sungai Petani: Polis mendapat perintah tahanan reman empat hari ke atas 18 pelajar di sini yang dipercayai ada kaitan kumpulan kongsi gelap Satu Hati atau Geng 35.