Kuala Langat: Seorang lelaki membakar rumah isterinya di Jalan Masjid Lama, Kampung Labohan Dagang, di sini, selepas berselisih faham dengan isterinya itu tengah hari tadi.
Kejadian berlaku pada 12 tengah hari dan suami isteri itu dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung sejak sekian lama.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pada mulanya suspek yang berusia 45 tahun datang ke tempat kerja isterinya di kantin sekolah di Bukit Changgang dan meminta untuk menumpang sementara di rumah isterinya kerana sakit kepala.
Katanya, isterinya kemudiannya membawanya pulang ke rumah berkenaan sebelum kembali ke tempat kerja.
"Selepas satu jam berada di rumah isterinya, suspek menghubungi isterinya supaya balik ke rumah dengan segera kerana menjumpai sesuatu di rumah itu yang dikatakan bukan barang kepunyaannya dan mengesyaki isterinya curang.
"Suspek kemudian mengugut jika isterinya tidak sampai dalam tempoh 10 minit, suspek akan membuat sesuatu yang tidak baik. Apabila wanita itu sampai di rumah, berlaku pergaduhan antara mereka dan suspek memukul isterinya sebelum isterinya itu berjaya melarikan diri dan meminta pertolongan daripada penduduk perkampungan Orang Asli tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.
Azizan berkata, selain membakar rumah, suspek turut memecahkan cermin belakang dua kenderaan iaitu Mercedes dan Toyota Hilux.
Katanya, suspek juga memecahkan cermin rumah jirannya.
"Kebakaran yang memusnahkan rumah isterinya itu berjaya dipadamkan menggunakan dua jentera Bomba dan Penyelamat Banting serta Sepang.
"Suspek ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api," katanya.
Kuala Langat: Seorang lelaki membakar rumah isterinya di Jalan Masjid Lama, Kampung Labohan Dagang, di sini, selepas berselisih faham dengan isterinya itu tengah hari tadi.