Bentong: Lelaki cedera di muka selepas berlaku letupan kecil ketika dia menyalakan api rokok dalam tandas hotel di Genting Highlands, hari ini.
Mangsa berusia dalam lingkungan 40-an yang juga kakitangan hotel itu dihantar ke Hospital Selayang, Selangor untuk menerima rawatan, dalam kejadian kira-kira 11 pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Penguasa Kanan Bomba, Yusri Abdullah Sani, berkata pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 11.09 pagi.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati ada kesan letupan dan sedikit kebakaran.
"Ketika kita sampai, mangsa sudah dibawa ke hospital dan kami difahamkan tandas yang terletak di tingkat bawah itu hanya untuk kegunaan kakitangan hotel.
“Namun, ketika kejadian, tandas itu tidak digunakan kerana kerja penyelenggaraan sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Difahamkan, mangsa masuk ke dalam tandas itu untuk menghisap rokok dan sebaik api dinyalakan, berlaku letupan kecil sehingga mencederakan mangsa.
"Kita tidak menolak kemungkinan letupan itu berlaku hasil tindak balas api dan gas yang terdapat dalam tangki septik di tandas itu.
"Unit forensik bomba dari Kuantan sedang melakukan siasatan di tempat kejadian bagi mengenal pasti punca," katanya.
Yusri berkata, letupan itu menyebabkan kerosakan di dinding, siling dan kawasan dalam radius lima meter dari tandas itu.
Bentong: Lelaki cedera di muka selepas berlaku letupan kecil ketika dia menyalakan api rokok dalam tandas hotel di Genting Highlands, hari ini.