Kuala Lumpur: Kenyataan perkembangan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam hanya boleh dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tiada pihak termasuk Jabatan Peguam Negara yang boleh mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan kes pembunuhan itu kerana dibimbangi boleh menjejaskan rundingan yang sedang berjalan.
"Apa yang boleh saya katakan adalah kedua-dua negara komited dalam menyelesaikan isu berkenaan dan proses rundingan sedang berjalan dengan baik.
"Ini kerana apa yang penting bagi Malaysia sekarang adalah keselamatan rakyat kita yang berada di negara berkenaan," katanya kepada media selepas majlis perasmian Kolokium Kehakiman Mengenai Perkongsian Amalan Baik Berkenaan Undang-Undang Antarabangsa Hak Asasi Manusia di ibu negara, hari ini.
Rundingan Kuala Lumpur -Pyongyang itu menyentuh isu utama untuk membolehkan sembilan rakyat Malaysia yang dilarang meninggalkan republik itu sejak Selasa lalu dibawa pulang.
Dua lagi rakyat Malaysia di Korea Utara dibebaskan sebelum ini ialah Stella Lim dan Nyanaprakash yang berkhidmat sebagai Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selamat tiba di Beijing, China jam 10 malam waktu Malaysia 10 Mac lalu.
Kuala Lumpur: Kenyataan perkembangan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam hanya boleh dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.