Kajang: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi di sebuah rumah di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, di sini, jam 12 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, rumah itu milik seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun dan mangsa datang untuk mengadakan perbincangan.
Menurutnya, pada jam 12.30 tengah malam, pemilik rumah mendakwa terdengar bunyi letupan di tingkat atas kediaman.
"Dia kemudian mendapati mangsa terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah serta sepucuk pistol berada di tangan mangsa.
"Siasatan mendapati terdapat satu kesan luka di tengah dahi mangsa serta menemui sepucuk revolver di tangan kanannya.
"Sepasukan pegawai dan anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dipanggil membantu siasatan bersama Pakar Forensik Patologi Hospital Serdang," katanya.
Menurutnya, hasil siasatan forensik dan patologi mengesahkan terdapat keraguan berhubung kematian mangsa yang dikatakan membunuh diri.
"Sehubungan itu, seramai 11 individu yang berada di lokasi kejadian diambil sampel untuk ujian sisa tembakan (GSR) oleh pasukan forensik.
"Isteri serta pembantu pemilik rumah terbabit juga ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Othman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kajang: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi di sebuah rumah di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, di sini, jam 12 tengah malam tadi.



