Sepang: Kira-kira 30 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunggu kepulangan Duta Malaysia ke Korea Utara, Mohamed Nizan Mohamad.
Petugas media yang mula berkumpul sejak 9 malam menunggu ketibaan Mohamed Nizan yang dikatakan bakal tiba di tanah air dengan menaiki pesawat China Air (CA 0871).
Difahamkan, beliau menaiki pesawat dari Lanzhou, China dan tiba di KLIA pada 11.53 malam namun Mohamed Nizam tidak muncul di lapangan terbang.
Malah, mengikut sumber lain pula, Mohamed Nizan akan menaiki penerbangan dari Beijing, China pada 1.30 pagi waktu tempatan dan dijangka tiba kira-kira jam 8 pagi ini menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MH 361).
Sementara itu, difahamkan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut berada di lapangan terbang itu, malah kenderaan rasminya juga berada di hadapan pintu masuk Balai Perlepasan KLIA.
Sebelum ini, Wisma Putra dalam satu kenyataan memanggil duta besarnya di Korea Utara kembali ke Malaysia untuk proses perundingan malah memanggil Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol bagi memberi penjelasan mengenai kenyataannya berkaitan kematian Kim Jong-nam.
Jumaat lalu, Kang Chol mempersoalkan tindakan pihak berkuasa Malaysia yang masih tidak mahu menyerahkan jasad Jong-nam walaupun mangsa disahkan rakyat mereka.
Sebelum itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dilaporkan berkata, mereka memerlukan sampel DNA ahli keluarga untuk dipadankan dengan si mati sebelum mayat itu diserahkan.
Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un maut selepas dikatakan disembur dan ditekup dengan kain mengandungi cecair racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari.
Sepang: Kira-kira 30 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunggu kepulangan Duta Malaysia ke Korea Utara, Mohamed Nizan Mohamad.