Kuala Lumpur: "Ada bayangan yang menyuruh saya ke dapur, ambil gunting dan buat (tikam bayi)."
Itu pengalaman postpartum depression atau meroyan, yang pernah dilalui ibu kepada tiga cahaya mata, Zeeda Aziz, 38.
"Bayangan itu seolah-olah menunjukkan yang saya pernah lakukan, dan memujuk saya buat perkara yang sama. Bayangan itu bermain dalam fikiran saya berulang kali," tambahnya lagi.
Kejadian itu katanya berlaku dalam tempoh sebulan ketika melahirkan anak pertama pada 2005 tetapi dia tidak menyedari bahawa itu adalah postpartum depression.
"Saya tidak tahu sehinggalah secara kebetulan saya menonton rancangan Oprah Winfrey dan semua simptom yang diceritakan sama dengan apa yang saya lalui.
"Alhamdulillah saya dapat melaluinya tanpa sebarang perkara tidak diingini kerana setiap kali bayangan itu muncul, mulut saya tidak berhenti berzikir dan saya alihkan perhatian saya," katanya yang juga penulis bebas ketika dihubungi.
Pengalaman Zeeda yang menggunakan nama Dakota Dykia di Facebook (FB) ini juga tular sehingga dikongsi lebih 22,000 kali dan mendapat 811 komen daripada pembaca setakat berita ini ditulis.
"Masuk bulan kedua saya masih terdengar-dengar suara terngiang ngiang di telinga seolah-olah berbisik.
"Saya beritahu kawan yang saya mungkin meroyan dan semuanya hilang begitu saja selepas saya menyedari perkara ini dan mula sibuk bekerja," katanya.
Zeeda yang berasal dari Sungai Petani akhirnya meluahkan perkara ini kepada suaminya selepas memperoleh anak ketiga pada 2009.
"Ketika melahirkan anak kedua (2007) dan ketiga, saya sudah tidak lagi berdepan pengalaman itu kerana mungkin saya sudah kuat dan tahu mengawalnya.
"Bila anak ketiga dah besar baru saya berani bercakap dengan suami. Sepatutnya saya beritahu awal, kerana dia sangat memahami," katanya.
Zeeda yang juga bekas pesakit kanser tulang berkata, dia gembira kerana perkongsiannya itu membuka mata ramai pihak mengenai postpartum depression dan sedar yang ia adalah benar.
Dia berkongsi mengenai meroyan selepas bayi berusia dua bulan, Nur Areesa Sofea Jiri ditemui mati di atas tilam di ruang tamu rumahnya di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas dengan kecederaan di bahagian kiri leher.
Suspek adalah ibunya sendiri berusia 32 tahun yang dipercayai mengelar bayinya itu menggunakan pisau pemotong sayur selepas 'terdengar' bisikan yang mengarahnya berbuat demikian.
Sementara itu, Pensyarah Sains Kejururawatan Universiti Malaya (UM) Rasnah Abdul Rahman berkata, postpartum psychosis adalah antara tiga postpartum depression atau meroyan yang juga keadaan paling teruk boleh dihadapi ibu selepas bersalin.
"Kategori pertama juga dipanggil maternal blues atau baby blues dan ia gangguan ringan yang semua ibu yang melahirkan boleh dapat yang kebiasaannya tidak disedari mereka.
"Kedua postpartum major depression, lebih berat sedikit yang biasanya berkaitan dengan pengalaman yang lebih teruk seperti ibu akan cepat marah, menangis tidak tentu pasal dan tidak mahu berjumpa orang lain," katanya ketika ditemui semalam.
Rasnah berkata, kategori pertama akan hilang dengan sendirinya dengan sokongan keluarga dan orang sekeliling dalam tempoh 10 hari.
Bagi kategori kedua yang boleh berlanjutan selama sebulan, ia berlaku atas sebab seperti kelahiran yang tidak dijangka, ada masalah hubungan suami isteri atau pengalaman pahit semasa melahirkan dan perlu mendapatkan rawatan.
"Kategori ketiga atau paling teruk iaitu postpartum psychosis lebih kepada masalah mental yang kebiasannya ada gangguan terhadap tingkah laku, halusinasi dalam pandangan dan pendengaran.
"Mereka tidak sedar kelakuan mereka tetapi orang lain boleh dapat mengenalpasti dan boleh berlanjutan sehingga lima tahun sekiranya tidak diubati," katanya yang sudah 22 tahun mengajar di universiti berkenaan.
Beliau yang pernah bertugas menyambut kelahiran bayi atau bidan berkata, ibu yang menghadapi postpartum psychosis kebiasaannya mempunyai sejarah penyakit mental atau mewarisi daripada genetik keluarga.
Secara umumnya, postpartum depression ialah gangguan emosi yang berkaitan dengan kelahiran anak yang berlaku selepas melahirkan anak sehingga enam minggu.
Ia berlaku disebabkan perubahan hormon ibu yang ketika mengandung mempunyai paras hormon yang tinggi tetapi turun mendadak selepas kelahiran.
Rasnah berkata suami juga boleh menghadapi postpartum depression kerana golongan ini juga memerlukan sokongan dalam membiasakan diri menghadapi fasa baru berkeluarga.
"Suami yang isterinya mengalami postpartum depression psychosis pastinya perlu membawanya mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri supaya ia tidak berlarutan.
"Sebenarnya, bukan masalah rumah tangga yang menyebabkan depression, tetapi depression yang menyebabkan hubungan suami isteri itu boleh tergugat.
"Jadi, jagalah keharmonian rumah tangga, perbaiki hubungan suami isteri dan jangan timbul syak wasangka dalam perhubungan," katanya.
Rasnah turut menasihati wanita terutamanya bakal ibu supaya bukan saja mendapatkan ilmu untuk persediaan kelahiran, tetapi juga ilmu untuk membiasakan diri dalam fasa baru kehidupan.
Kuala Lumpur: "Ada bayangan yang menyuruh saya ke dapur, ambil gunting dan buat (tikam bayi)."