Manjung: "Ketika itu, saya masih dengar bunyi degupan jantung emak dan cuba memanggilnya.
“Namun, tak bersahut. Tapi, saya sempat membantunya mengucap," kata Maisuri Mahamad Ajmi, 24, anak bongsu arwah Mariaty Bakar, 59, ketika menyiram pokok bunga di depan rumahnya.
Arwah Mariaty maut selepas terkena tayar yang dikatakan melantun dari kenderaan berat dalam kejadian di Kampung Bakar Bata, pada 6.30 petang semalam.
Maisuri berkata, dia sedang menonton TV dalam rumah dan menyangka ibunya ke rumah rakan selepas bayi lelaki yang diasuh arwah orang tuanya itu sudah diambil ibu bapa bayi berkenaan.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat di luar. Saya intai dan tenampak ada orang terbaring. Apabila keluar, saya terkejut melihat emak dah terbaring dan berlumuran darah,” katanya.
Menurutnya, dia sedih kerana ibu tidak dapat melihat kenduri menyambut perkahwinan kakaknya, Mazni Mahamad Ajmi, 27, di rumah besannya, di desa sama, esok.
Menurutnya, kenduri sebelah keluarganya iaitu pengantin perempuan sudah diadakan pada 28 Januari lalu.
Maisuri menjelaskan, jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 42 Kampung Kedah, tengah hari ini.
Manjung: "Ketika itu, saya masih dengar bunyi degupan jantung emak dan cuba memanggilnya.