Istanbul: Penyerang dipercayai memakai kostum Santa Claus melepaskan tembakan di kelab malam di Istanbul ketika perayaan menyambut Tahun Baru, menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan 40 lagi cedera.
Gabenor Istanbul, Vasip Sahion berkata, penyerang menembak mati seorang anggota polis dan seorang awam di luar kelab berkenaan, 1.45 pagi tadi (6.45 pagi waktu Malaysia) sebelum masuk dan menembak orang ramai yang berpesta di dalam.
Dia bagaimanapun tidak menyebut siapa yang mungkin melancarkan serangan itu.
“Dia melepaskan tembakan rambang secara kejam dan tidak berperi kemanusiaan terhadap mereka yang berseronok menyambut Tahun Baru” kata Vasip kepada wartawan.
Rangkaian televisyen swasta NTV melaporkan, penyerang memasuki kelab malam Reina di daerah Ortakoy di Istanbul dengan berpakaian Santa Claus.
Beberapa pengunjung terjun ke dalam Sungai Bosporus untuk melarikan diri.
Menurut laporan itu, beberapa mangsa yang cedera adalah warga asing.
Setakat ini, kedudukan penyerang itu tidak diketahui atau sama ada dia sudah di tangkap atau belum.
Sinem Uyanik yang berada di dalam kelab malam itu bersama suaminya yang cedera dalam serangan berkenaan.
“Sebelum menyedari apa yang berlaku, suami saya rebah menghempap saya,” katanya di luar Hospital Sisli Etfal.
“Saya terpaksa mengangkat beberapa mayat yang jatuh ke atas saya sebelum dapat keluar. Sungguh menakutkan,” katanya.
Polis dengan bantuan kenderaan berperisai mengepung kawasan sekitar berhampiran kelab malam Reina, antara tembat hiburan malam paling popular di Istanbul.
Kelab itu terletak berhampiran serangan berani mati baru-baru ini yang membunuh puluhan orang dekat sebuah stadium bola sepak. - Agensi
Istanbul: Penyerang dipercayai memakai kostum Santa Claus melepaskan tembakan di kelab malam di Istanbul ketika perayaan menyambut Tahun Baru, menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan 40 lagi cedera.