Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

MBI buat laporan polis

$
0
0
Utama

am@hmetro.com.my

Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat laporan polis di sini, tengah malam tadi berhubung tindakan tidak bertanggungjawab sekumpulan pendaki yang memanjat mercu tanda 'IPOH' di Jalan Kuala Kangsar di sini, baru-baru ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pihak MBI membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, 12.45 tengah malam tadi untuk siasatan lanjut terhadap tindakan berbahaya kumpulan terbabit yang bukan saja kepada diri mereka sendiri tetapi orang lain.

"Kumpulan terbabit dipercayai memanjat mercu tanda itu pada Rabu lalu dan pihak MBI hanya mengetahui mengenainya selepas gambar dan video kegitan mereka itu tersebar di laman sosial.

"Dakwaan mereka yang mengatakan mendapat kelulusan MBI untuk memanjat struktur binaan berkenaan juga adalah satu penipuan.

"Saya terkejut melihat gambar perbuatan tidak bertanggungjawab kumpulan itu termasuk ada yang menggantung kain buai atau 'hammock' di mercu tanda itu dan ini sebenarnya adalah satu perlanggaran dan pencerobohan yang dibuat kepada binaan berkenaan," katanya ketika ditemui di program Sambutan Ambang Tahun Baru di Dataran MBI, tengah malam tadi.

Menurutnya, tindakan memanjat arca setinggi lebih 20 meter itu juga dianggap sebagai satu laku musnah.

"Tindakan ini boleh kita kategorikan sebagai laku musnah kerana kerangka itu akan rosak ataupun tumbang yang boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan yang serius," katanya.

Zamri berkata, ia adalah kes pertama dan pihaknya sebelum ini tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk memanjat kecuali kontaktor penyelengaraan yang hanya melakukan kerja dengan kelulusan pihak MBI.

"Biasanya kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh kontraktor, kita akan memastikan mereka mengikuti ciri-ciri keselamatan yang lengkap dengan memakai tali keselamatan dan juga penggunaan jentera.

"Kita melihat mereka seolah-olah menggadaikan nyawa untuk memanjat binaan yang tinggi itu dan berjalan serta bergayut tanpa ada sebarang tali keselamatan dan sebagainya.

"Walaupun mereka ada tali keselamatan, sebenarnya kita tidak akan mengeluarkan apa-apa kelulusan untuk memanjat struktur papan tanda berkenaan," katanya.

Image: 

Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat laporan polis di sini, tengah malam tadi berhubung tindakan tidak bertanggungjawab sekumpulan pendaki yang memanjat mercu tanda 'IPOH' di Jalan Kuala Kangsar di sini, baru-baru ini.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853