Ipoh: Selepas 39 hari bertarung nyawa, Khalijah Samad, 79, menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga, di sini, kira-kira 5 petang, 31 Disember.
Arwah terlantar selepas terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa cucu dan dua cicitnya di KM3.5 Jalan Ipoh-Lumut, pada 22 November lalu.
Dalam kejadian 1.15 pagi, cucu lelakinya, Muhammad Syafiq Isyammuddin, 25, dan dua cicitnya, Umrah Yumna, 2, dan Aniq Hamzah, 10 bulan, terbunuh.
Khalijah dan Nurul Nadia Baharuzan, 28, iaitu isteri arwah Muhammad Syafiq parah dan kemudiannya dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Anak sulung mangsa, Norhainiza Jalaludin, 49, yang juga ibu arwah Muhammad Syafiq, berkata dia kini kehilangan empat insan tersayang dalam satu nahas jalan raya.
"Ibu (Khalijah) menghembus nafas terakhir di sisi kami tiga beradik dan ahli keluarga lain.
"Lebih pilu, apabila arwah meninggal dunia hanya beberapa jam selepas saya beritahu mengenai kematian cucu dan dua cicitnya," katanya ketika ditemui di rumah arwah ibunya itu di Taman Jati, malam tadi.
Norhainiza berkata, sebelum ini dia dan ahli keluarga lain tidak sampai hati memberitahu kematian Muhammad Syafiq dan dua anaknya kerana keadaan ibu yang tidak stabil.
Bagaimanapun, katanya, atas nasihat rakan dan ustaz, mereka sekeluarga memutuskan untuk memberitahu arwah.
"Sebaik diberitahu, ibu yang menggunakan bantuan pernafasan berubah sedih.
“Keadaannya kemudian nazak. Ia membuatkan doktor menghubungi ahli keluarga untuk berada di sisi arwah buat kali terakhir," katanya.
Menurutnya, jenazah arwah akan dikebumikan berhampiran kubur cucu dan cicitnya, kira-kira 10 pagi, Ahad, 1 Januari.
Ipoh: Selepas 39 hari bertarung nyawa, Khalijah Samad, 79, menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga, di sini, kira-kira 5 petang, 31 Disember.