Ipoh: Keluarga mangsa nahas pesawat MH17 sedikit lega apabila laporan siasatan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), hari ini memberi gambaran tentang pihak sebenar yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu pada 17 Julai 2014.
Noorlin Mohd Noor, 48, adik kepada penumpang Allahyarham Norahimah Mohd Noor, 67, berkata, selama lebih dua tahun ahli keluarga mangsa tertanya-tanya siapa penyangak sebenarnya yang bertanggungjawab dan melalui laporan yang dibentangkan hari ini ia sedikit jelas.
"Jika benar seperti yang didedahkan kini misteri lain yang perlu dirungkai adalah kenapa atau mengapa MH17 ditembak jatuh.
"Saya sebagai ahli keluarga dan pasti waris mangsa yang lain juga ingin mengetahui kenapa ia ditembak hingga mengorbankan nyawa insan yang kami sayangi," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menonton siaran langsung laporan JIT nahas MH17, hari ini.
Menurutnya dengan laporan yang didedahkan itu dia juga berharap kerajaan Malaysia terus memberi tekanan agar pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
"Kami juga minta masyarakat dunia sepakat memberi sokongan dan tekanan supaya keadilan dapat dituntut bagi semua mangsa serta ahli keluarga.
"Jika benar sudah ada jawapan yang tepat mengenai tragedi MH17 ini barulah kami ahli keluarga berasa puas dan lega," katanya.
Laporan JIT hari ini membuat kesimpulan pesawat MH17 ditembak menggunakan roket 9-M-83-38 dari treler BUK.
Roket berkenaan dibawa masuk dari Russia ke kawasan pemisah pro-Rusia dan selepas tembakan dilepaskan treler BUK dibawa kembali ke Rusia.
Kesimpulan dibuat berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh daripada rakaman video, saksi dan rakaman perbualan telefon.
Ipoh: Keluarga mangsa nahas pesawat MH17 sedikit lega apabila laporan siasatan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), hari ini memberi gambaran tentang pihak sebenar yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu pada 17 Julai 2014.