Kuala Lumpur: Dia begitu takut kepada suami sehinggakan apabila lelaki itu memberitahu dua anak mereka meninggal dunia dan dia membuang mayat mereka, wanita itu hanya membisu, tidak berbuat apa-apa.
Polis percaya wanita itu menjadi trauma akibat sering didera suaminya, Cheah Hing Soon, penagih dadah berusia 34 tahun dan kaki botol, yang ditemui mati di kediaman mereka di Apartment Nova, Segambut, Ahad lalu.
Wanita itu hanya menghubungi polis keesokannya, malah ketika itu pun dia bagaikan tidak sedar mayat anak perempuan mereka berusia tiga tahun, Cheah Kai Sze, dan bayi lelaki tujuh bulan, Cheah Kai Wen, berada dalam sebuah bilik berkunci dan mengeluarkan bau busuk.
"Apabila polis tiba, mereka mendapati lelaki itu terbaring di atas katil di bilik tidur utama. Mereka serta-merta terhidu bau busuk namun wanita itu seolah-olah tidak menyedarinya.
"Apabila polis memecah masuk bilik itu, mereka menjumpai mayat dalam dua bekas berasingan. Wanita itu kelihatan terkejut dan mula menangis,” kata Ketua Polis Sentul Asisten Komisioner R Munusamy.
Bedah siasat belum lagi selesai, namun polis kini percaya lelaki itu meminum racun selepas membunuh dua anaknya antara lima hingga tujuh hari lalu, berdasarkan keadaan mayat.
Si isteri, yang tua setahun daripada suami, memberitahu polis dia tidak mendengar apa-apa bunyi dari bilik itu yang sentiasa berkunci dan kuncinya dipegang suami.
Munusamy berkata, lelaki terbabit mula bersikap kasar kira-kira lima tahun lalu, apabila kedua-dua mereka kehilangan pekerjaan, suami sebagai pembaik penyaman udara dan isteri sebagai kerani.
"Dia cepat naik darah dan akan memukul semua anggota keluarga kecuali anak lelaki kedua. Atas sebab tertentu, dia melayan kanak-kanak lelaki itu dengan baik," katanya.
Pasangan itu kahwin lari selepas keluarga masing-masing membantah hubungan mereka. Ketika berkahwin, pengantin perempuan berumur 19 tahun manakala pengantin lelaki 18 tahun.
Munusamy berkata Cheah pernah ditahan dua kali - kerana salah guna dadah pada 2005 dan vandalisme pada 2006 - namun tidak pernah didakwa.
Beberapa tahun kemudian, Cheah menjadi semakin ganas, menurut isterinya.
Ketika dalam pantang selepas melahirkan Kai Wen, wanita itu berada dalam bilik hampir setiap masa manakala bayinya di ruang tamu.
"Cheah akan memukul bayi itu setiap kali dia menangis, dan wanita itu tidak berdaya menghalangnya," kata Munusamy.
Keluarga itu mendapat bantuan kewangan daripada bapa Cheah, yang memiliki syarikat pemberi pinjaman namun mereka tidak pernah berhubung.
Bapa Cheah memberi keluarga itu RM2,000 hingga RM3,000 sebulan sejak lima tahun lalu, selain membayar sewa RM1,000.
Menurut Munusamy bapa lelaki itu memberitahu polis dia tidak tahu mengenai perbuatan ganas dan penderaan itu.
"Dia beritahu kami, jika dia tahu, dia akan cuba menghalangnya," katanya.
Kuala Lumpur: Dia begitu takut kepada suami sehinggakan apabila lelaki itu memberitahu dua anak mereka meninggal dunia dan dia membuang mayat mereka, wanita itu hanya membisu, tidak berbuat apa-apa.