Kuala Lumpur: Langkah kerajaan memperkenalkan program MyBeras khusus untuk keluarga miskin tegar yang berdaftar dalam pengubahsuaian Bajet 2016 mendapat reaksi positif orang ramai.
Suri rumah, Esah Wan Mat Ali, 63, berkata, pemberian berkenaan umpama satu rahmat bagi dirinya dan keluarga.
"20 kilogram (kg) beras sebulan sudah cukup dan ini merupakan satu rahmat untuk ibu tunggal seperti saya.
"Bukan setakat satu bulan, kuantiti itu mungkin memadai bagi menampung bekalan beras untuk dua atau tiga bulan," katanya ketika ditemui di sini.
Atlet Orang Kurang Upaya (OKU), Azman Hasan, 49, berkata, program MyBeras mampu meringankan bebannya yang tidak mempunyai kerja tetap.
"Bantuan beras sangat mencukupi untuk keluarga kecil seperti saya yang tidak bekerja dan ia juga sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos sara hidup yang dihadapi dengan harga barang yang terlalu mahal sekarang," katanya.
Bagi pembantu kedai, Che Wah Buang, 56, kerajaan sangat prihatin dengan golongan miskin menerusi pemberian itu.
"Baguslah prihatin dengan nasib golongan miskin dan memberi bantuan beras. Sumbangan ikhlas itu sudah cukup untuk membantu orang yang miskin," katanya.
Pengawal Keselamatan Zamri Mohd Muni, 53, bersyukur kerana 20 kg beras setiap bulan mampu mengurangkan perbelanjaan barangan dapur mereka sekeluarga.
"Gaji kecil seperti saya memang tidak cukup untuk tampung keperluan kami enam sekeluarga setiap bulan, namun pemberian beras mungkin boleh mengurangkan perbelanjaan dapur," katanya.
Dalam inisiatif berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan program MyBeras yang membekalkan 20 kg beras setiap bulan kepada keluarga miskin sehingga Disember ini.
Sementara itu, kerajaan juga bersetuju mengurangkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja sebanyak tiga peratus mulai Mac 2016 hingga Disember 2017.
Kakitangan swasta Noorhidayu Samsuddin, 31, berkata, langkah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat yang terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
"Baguslah, kerana ekonomi sekarang ini menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi. Jadi dengan potongan itu, banyak membantu.
"Sebagai contoh kalau sebelum ini potongan sebanyak RM100, sekarang cuma RM70. Nampak kerajaan prihatin dengan nasib rakyat.
"Kerajaan tahu keadaan semasa sekarang banyak harga barangan naik, jadi potongan ini tepat pada masanya," katanya.
Bagi Siti Ruqaiyah Hashim, 27, beliau menyokong langkah dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.
"Alhamdulillah, saya sangat sokong dan bersetuju untuk pengurangan caruman KWSP kerana ini dapat membantu untuk golongan yang sederhana.
"Dengan pengurangan itu, rakyat boleh menikmati jumlah gaji yang lebih banyak daripada sebelumnya," katanya.
"Bagi saya penurunan KWSP memberikan kesan terutamanya kepada orang macam saya yang makan gaji.
"Sebab sekarang kita perlu banyak berbelanja, jadi bila dia potong sikit banyak lagi gaji yang kita terima untuk perbelanjaan yang lain," kata Intan Liyana Yusof Izzuddin, 27.
29terkini
Kuala Lumpur: Langkah kerajaan memperkenalkan program MyBeras khusus untuk keluarga miskin tegar yang berdaftar dalam pengubahsuaian Bajet 2016 mendapat reaksi positif orang ramai.