Kluang: Seratus dua puluh pasangan diijabkabulkan dan bersanding beramai-ramai di Dataran Tasek Puteh, di sini, hari ini.
Pernikahan mereka diilhamkan menerusi Program Kendarat Perdana Walimatulurus Mega 2015 anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kluang dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, pasangan pengantin terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau berkata, dengan bayaran serendah RM500, setiap pasangan dapat memenuhi impian mereka untuk membina rumah tangga.
"Program ini diadakan kali pertama dan kami bersyukur semua pasangan sudah disatukan dan diharap mereka menunaikan tanggungjawab sebagai suami isteri dengan sebaik mungkin.
"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama bagi memastikan program ini berjalan lancar," katanya.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.
Kluang: Seratus dua puluh pasangan diijabkabulkan dan bersanding beramai-ramai di Dataran Tasek Puteh, di sini, hari ini.