Petaling Jaya: "Saya turut terjun untuk menyelamatkan abang tetapi gagal dan lemas sebelum diselamatkan," kata Mohd Huzain Mohamad Ady, 11, yang terselamat dalam kejadian lemas membabitkan empat mangsa termasuk abangnya di Tasik Ara Damansara, Kelana Jaya, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, Mohammad Huzain diselamatkan oleh dua pengawal keselamatan yang berada berhampiran tempat kejadian, manakala abangnya, Mohd Fikry, 14, bersama tiga rakannya, Hafiz Hakimi, 14, Raja Iskandar Shah,13 dan Norasyikin Jamil, 12, lemas.
Mayat Mohd Fikry ditemui pada 5.17 petang, diikuti mayat Norasyikin pada 6.05 petang, Hafiz (6.06 petang) dan Raja Iskandar (6.08 petang).
Menurut Mohd Huzain, abangnya pada mulanya cuba mengambil selipar Norasyikin yang terjatuh ke dalam tasik ketika bermain di tepi tebing.
Katanya, abangnya tergelincir ke dalam tasik sebelum cuba diselamatkan tiga rakannya.
“Tiga rakan abang terjun ke dalam tasik untuk membantu sebelum saya turut terjun, tetapi kami lemas.
"Dua pengawal keselamatan yang membantu hanya sempat menyelamatkan saya," katanya.
Ibu dua beradik itu, Laila Warmon, 50-an ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, Mohd Fikry menolak pelawaannya untuk pergi ke Pusat Zakat dan membantunya menyimpan barang niaga di rumah mereka.
"Arwah menolak perlawaan saya untuk ke Pusat Zakat sebelum membantu mengemas barangan jualan makanan ringan dengan rapi.
"Saya hairan dengan tindakannya tetapi tidak mengesyaki apa-apa sebelum memberikan dia wang untuk membeli kad prabayar," katanya.
Menurutnya, sebaik menerima wang berkenaan, anaknya terus keluar rumah bersama Mohd Huzain.
BN0046141

Petaling Jaya: "Saya turut terjun untuk menyelamatkan abang tetapi gagal dan lemas sebelum diselamatkan," kata Mohd Huzain Mohamad Ady, 11, yang terselamat dalam kejadian lemas membabitkan empat mangsa termasuk abangnya di Tasik Ara Damansara, Kelana Jaya, di sini, petang tadi.



