“Arwah adalah anak harapan keluarga ini dan tidak sangka dia meninggalkan kami dalam keadaan begini.”
Itu yang diluahkan Zulkarnain Idrus, 53, bapa kepada penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia petang semalam selepas dipercayai didera rakan dengan seterika wap.
Menurut bapanya, dia melihat kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya pada jenazah anaknya sebelum dibedah siasat.
Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan Allahyarham dua hari sebelum Ramadan dan mangsa ada mengadu dengan ibunya, Hawa Osman yang dia dipukul rakan-rakan di universiti namun mereka menyangka ia tidak serius.
“Dia adalah harapan kami sekeluarga. Saya harap dia boleh bimbing adik-adiknya selepas dia berjaya.
“Kami reda dengan pemergiannya namun meminta pengurusan UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia untuk menyiasat kejadian ini dengan telus dan adil,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang.
“Arwah adalah anak harapan keluarga ini dan tidak sangka dia meninggalkan kami dalam keadaan begini.”