LELAKI yang melepaskan tembakan menggunakan raifal automatik dalam kejadian dipercayai cubaan rompakan di kasino di Manila, hari ini membunuh diri.
Ketua polis Ronald Dela Rosa berkata, suspek membakar dirinya dalam bilik hotel.
“Dia baring di atas katil, meliputi dirinya dengan selimut tebal sebelum mencurah minyak ke atas selimut dan membakar diri,” katanya.
Dalam kejadian di Resorts World Manila, kira-kira 12 tengah malam itu orang ramai berlari keluar selepas suspek melepaskan tembakan menggunakan raifal M4 serta membakar meja judi.
Suspek tidak menembak sesiapa tetapi menghilangkan diri ketika keadaan huru-hara dan berasap.
Kejadian itu dipercayai rompakan yang gagal dan bukan serangan pengganas sepertik yang dituntut Daish, kata Dela Rosa.
Katanya, lelaki yang dipercayai bertindak seorang diri memasuki bilik perjudian dan menembak television sebelum mencurah minyak ke meja judi dan membakarnya.
Selepas itu, dia melepaskan tembakan ke bilik stok yang mengandungi cip judi dan memenuhi beg galas dengan cip judi itu sebelum ke bahagian hotel di tingkat atas, kata Dela Rosa.
Namun, siasatan masih dijalankan bagi menentukan motif suspek, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Manila, Oscar Albayalde berkata, suspek cuba mencuri cip judi bernilai 113 juta pesos (RM9.73 juta) tetapi meninggalkan beg galasnya di lantai berhampiran bilik stok itu.
"Tidak ada petunjuk bahawa ini adalah serangan pengganas.
"Ia adalah satu rompakan mudah dan kemungkinan besar dilakukan oleh seseorang yang gila," kata Albayalde kepada wartawan di luar kasino itu.
Polis juga mengesahkan 30 orang cedera akibat rempuhan dan asap.
LELAKI yang melepaskan tembakan menggunakan raifal automatik dalam kejadian dipercayai cubaan rompakan di kasino di Manila, hari ini membunuh diri.