“DIA (Zaidi) tidak perlu jadi kurang ajar dan membuat provokasi sebegitu... saya memang berang dan terus menampar mukanya."
Begitulah kata-kata lelaki yang menampar pipi Pegawai Penerangan kepada Ketua Menteri, Zaidi Ahmad ketika perhimpunan aman di depan Masjid Simpang Enam, di Georgetown, hari ini.
Ramly Mad Ismail, 64, ketika ditemui berkata, kehadiran mereka untuk mengadakan perhimpunan secara aman selepas solat Jumaat bagi membantah campur tangan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam isu fatwa dan tidak sama sekali ingin mencetuskan sebarang perbalahan ataupun pertikaian.
Menurutnya, dia datang bersama beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) dan Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (PAJIM).
Katanya, ketika Pengerusi JMPP, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin sedang memberi ucapan secara tiba-tiba datang lelaki yang tidak dikenalinya dari arah belakang terus mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadap Mohamed Hafiz kononnya dia berbohong.
Ramly berkata, keadaan bertukar menjadi kecoh seketika sebelum berjaya dikawal beberapa anggota polis yang berada di lokasi.
Menurutnya, sebelum ini terlalu banyak himpunan aman diadakan dan tidak pernah ada sebarang tindakan kurang ajar seperti dilakukan lelaki terbabit.
"Kami datang bukannya nak gaduh dengan sesiapa tetapi sikap dia sudah cukup melampau dan biadap. Kami akan mengadakan perbincangan sama ada akan membuat laporan polis atau sebaliknya," katanya ketika ditemui di Jelutong, hari ini.
“DIA (Zaidi) tidak perlu jadi kurang ajar dan membuat provokasi sebegitu... saya memang berang dan terus menampar mukanya."