BUDAK lelaki berusia 2 tahun yang meninggal dunia akibat kecederaan dalaman termasuk pankreas koyak di Hospital Kajang, pagi semalam, dipukul oleh ibunya menggunakan penyangkut baju sehingga dia menangis pada 10 malam Jumaat lalu dan ada kesan gigitan di muka sebelum kejadian itu.
Sumber berkata, ibu kanak-kanak terbabit berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pembantu taska di Taman Kajang Impian, Kajang keluar dari bilik dihuninya di taska itu bersama teman lelakinya berusia 39 tahun yang datang ke taska itu pada 1 pagi keesokannya.
Katanya, kanak-kanak itu dipukul ibunya kerana meragam dan teman lelaki ibunya yang bekerja di restoran tinggal di tempat lain.
“Selepas keluar, mereka pulang semula ke taska, namun pada 6 pagi ibu kanak-kanak terbabit meminta nombor teksi daripada kakitangan taska yang lain kerana mahu membawa anaknya ke hospital.
"Dia kata anaknya sesak nafas selepas terjatuh dari katil dan ke hospital menaiki teksi bersama teman lelakinya. Tidak lama kemudian dia memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian dipukul dengan penyangkut baju itu, kanak-kanak terbabit dilihat dalam keadaan muka ada kesan gigitan dan lebam di badan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan mengesahkan menerima laporan kematian kanak-kanak itu.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati, mangsa mengalami kecederaan dalaman termasuk tulang rusuk patah dan pankreas koyak.
“Ibu mangsa dan teman lelaki wanita terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Menurutnya, teman lelakin wanita itu mempunyai rekod kesalahan dadah dan ujian air kencingnya positif ganja.
Sementara itu, jiran yang enggan dikenali berkata, dia sering melihat wanita itu bersama lelaki terbabit dan menyangka mereka suami isteri.
“Saya ingatkan mereka suami isteri, rupa-rupanya pasangan kekasih.
"Malam tadi (semalam) saya lihat ada sepasukan anggota polis datang ke taska itu dan wanita terbabit ditahan polis," katanya .
BUDAK lelaki berusia 2 tahun yang meninggal dunia akibat kecederaan dalaman termasuk pankreas koyak di Hospital Kajang, pagi semalam, dipukul oleh ibunya menggunakan penyangkut baju sehingga dia menangis pada 10 malam Jumaat lalu dan ada kesan gigitan di muka sebelum kejadian itu.