POLIS menahan pemandu dan pembantunya kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan migran di Jalan Utama Kampung Lormalong, dekat Kunak.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata mereka ditahan ketika sepasukan polis menjalankan tugas Op Sea Hunter, pada 2.10 petang, Jumaat.
Menurutnya, polis menahan bas dipercayai dari arah Sandakan menuju ke Tawau.
"Hasil pemeriksaan menangkap 18 penumpang yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Turut ditahan pemandu dan pembantu pemandu terbabit manakala bas dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, 18 penumpang itu terdiri daripada lapan lelaki, sembilan perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan.
"Siasatan awal mendapati setiap seorang dikenakan bayaran tambang RM1,200 untuk perjalanan kira-kira 300 kilometer dari Sandakan ke Tawau. Mereka perlu dibayar sebaik tiba di destinasi.
"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kunak untuk tindakan lanjut kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.
"Sehingga ini, dalang yang mengurus perkara ini belum dapat dikenal pasti. Namun, soal siasat masih diteruskan," katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
POLIS menahan pemandu dan pembantunya kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan migran di Jalan Utama Kampung Lormalong, dekat Kunak.