Ipoh: Wanita maut selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Gopeng, Simpang Pulai, di sini, hari ini.
Dua lagi mangsa yang turut berada dalam Proton Wira terbabit terselamat dalam kejadian pada 3.30 petang.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 3.32 petang.
Katanya, sebaik sampai di lokasi anggota bomba mendapati kereta dihempap pokok tumbang.
"Maklumat awal mengatakan tiga mangsa berada dalam kereta berkenaan. Namun, kesemua mangsa dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba.
"Kejadian itu mengakibatkan seorang wanita maut, seorang lagi cedera dan seorang lelaki terselamat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, bomba kemudian menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok yang tumbang itu kepada potongan kecil sebelum mengalihkannya.
"Mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut.
"Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan Satu, Ali Hairi Sulaiman itu selesai 4.27 petang," katanya.
Ipoh: Wanita maut selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Gopeng, Simpang Pulai, di sini, hari ini.