Putrajaya: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai terbabit dalam cubaan merasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berhubung penganugerahan pingat direman selama lima hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman sehingga 4 April itu dikeluarkan Majisret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.
Suspek, 54, diwakili tiga peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, JR Tey dan Datuk Joshua Kevin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM kerana secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau mana-mana orang lain apa-apa suapan sebagai dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua perkara atau transaksi yang berkaitan kesalahan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24, akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada 9.30 pagi.
Lelaki itu hadir dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga diiringi tiga pegawai suruhanjaya itu.
Sebaik keluar dari kenderaan, lelaki terbabit yang bergari menutup muka dengan baju yang dipakai dan terus dibawa ke dewan mahkamah.
Suspek berkenaan ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam selepas diarahkan menyerah diri kepada suruhanjaya itu.
Ahad lalu, Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan mendedahkan maklumat kepada SPRM berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda mengenai penganugerahan pingat.
Baginda mendedahkan menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu SPRM mengadap segera supaya perkara berkenaan dapat disiasat.
Putrajaya: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai terbabit dalam cubaan merasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berhubung penganugerahan pingat direman selama lima hari bermula hari ini.