nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sepanjang dalam tahanan saya hanya teringatkan keluarga. Paling saya risau anak kedua berusia tiga tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).
“Mungkin itu antara faktor menyebabkan tahap kesihatan saya merosot sehingga diserang demam sejak sebulan lalu. Saya juga masih trauma dengan kejadian," kata Mohd Ridzuan Ismail, 33, seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang menjadi tawanan kumpulan pengganas Abu Sayyaf selama lapan bulan sebelum diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.
Menurut bapa tiga anak itu, Allah SWT sahaja yang tahu mengenai keadannya dan rakan lain. Dia juga tidak dapat menggambarkan situasi ketika itu dengan kata-kata.
"Sepanjang masa saya hanya berdoa diberi kesabaran dan ketahanan fizikal dan mental serta berharap akan ada pasukan penyelamat yang akan datang menyelamatkan saya dan rakan lain.
"Selama dalam tahanan kami tidak pernah berpisah. Hampir setiap hari kami juga hidup dalam ketakutan apabila sering diugut pancung oleh anggota kumpulan itu.
“Tidak terfikir untuk lari dan menyelamatkan diri kerana kami semua dikawal kira-kira 20 orang,” katanya selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediamannya, hari ini.
Katanya, dia tidak pasti bagaimana kejadian berlaku kerana sedang tidur sebelum dikejutkan kumpulan berkenaan.
"Sedar-sedar saya mendapati berada di lokasi yang saya sendiri tidak pasti di mana. Keadaan gelap dan tidak nampak apa-apa,” katanya.
Mohd Ridzuan turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Filipina dan semua yang terbabit dalam misi menyelamatkan mereka.
"Syukur, akhirnya saya dapat menatap wajah keluarga terutama anak OKU kesayangan. Terima kasih Ya Allah," katanya.
Kuala Lumpur: “Sepanjang dalam tahanan saya hanya teringatkan keluarga. Paling saya risau anak kedua berusia tiga tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).