Kuala Lumpur: Tiga tebusan kumpulan Abu Sayyaf yang diselamatkan Ahad lalu iaitu Fandy Bakran, 27, Mohammad Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, meluahkan hasrat untuk menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurut Fandy, niat mereka itu bertujuan untuk menjaga keselamatan negara terutama di kawasan dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).
“Selama lapan bulan saya dalam tahanan sedikit sebanyak sudah mengetahui selok-belok sekitar kawasan berkenaan. Jadi, dengan pengalaman itu kami dapat menyumbang khidmat dan bakti terutama demi negara tercinta.
“Saya meluahkan hasrat berkenaan ketika bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain tidak menyangka hasrat saya dan rakan akan dipertimbangkan.
“Insya-Allah, kami akan melakukan yang terbaik sekiranya ada peluang pada masa akan datang,” katanya ketika dibawa Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bertemu Perdana Menteri di kediaman beliau, pagi tadi.
Sementara itu, Najib ketika bercakap kepada media memaklumkan sudah menyampaikan hasrat mereka perkara itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk tindakan lanjut.
“Saya sudah berjumpa ketiga-tiga mereka dan semuanya muda lagi. Mereka meluahkan hasrat dan memaklumkan kepada saya untuk menyertai APMM dan ditugaskan dalam ESSZONE.
“Saya juga sudah menghubungi Shahidan untuk memberikan mereka tempat sebagai anggota APMM dan akan menjalani latihan tidak lama lagi.
“Hal ini untuk menaikkan semangat mereka. Mereka tahu keadaan dan selok-belok pulau di sana selain mahu menyumbang kepada kerajaan terutama untuk meningkatkan tahap keselamatan di ESSZONE,” kata beliau.
Beliau meluangkan masa selama sejam bertemu Fandy, Mohd Jumadil dan Mohd Ridzuan bersama keluarga mereka.
Turut hadir Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Kuala Lumpur: Tiga tebusan kumpulan Abu Sayyaf yang diselamatkan Ahad lalu iaitu Fandy Bakran, 27, Mohammad Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, meluahkan hasrat untuk menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).