Kuala Lumpur: Pesalah maisir (berjudi) dan ikhtilat (berkhalwat) dipanggil di depan khalayak ramai, diumumkan maklumat peribadi mereka dan kemudian dijatuhkan hukuman sebat bergantung kepada kesalahan masing-masing.
Pesalah maisir disebat sebanyak tujuh kali, manakala pasangan yang melakukan kesalahan ikhtilat disebat sebanyak 20 hingga 24 kali.
Demikian kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, yang berpeluang menyaksikan proses hukuman tersebut yang dijalankan di Masjid Mukminin, Banda Aceh, Indonesia, pada Isnin.
Menurutnya, peluang menyaksikan proses hukuman terbabit datang tanpa disangka apabila pemandu pelancong yang membawa rombongan dari Malaysia seramai 41 orang memberitahu bahawa hukuman terbabit akan diadakan pada hari terbabit.
“Jadual asal kami adalah melawat Muzium Tsunami. Tiba-tiba pemandu pelancong memberitahu bahawa hukuman itu akan dijalankan sekitar jam 11 pagi, sedangkan ia biasanya diadakan pada hari Jumaat.
“Saya anggap ia rezeki kami dapat melihat sendiri bagaimana proses hukuman sebat itu dijalankan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Tambahnya, hukuman terbabit dapat memberi iktibar kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama serta pengajaran buat pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut.
“Apa yang saya dapat lihat, hukuman sebat di depan khalayak ramai dapat menginsafkan orang yang melihat hukuman itu. Mudah-mudahan ia juga jadi pengajaran kepada pesalah agar tidak lagi mengulangi kesalahannya,” katanya.
Kata Nuridah lagi, rombongan selama empat hari bermula Sabtu lalu ke Banda Aceh itu bertujuan menziarah beberapa lokasi menarik termasuk makam ulama yang menyebarkan Islam di Aceh, Makam Teungku Syiah Kuala.
“Rombongan tersebut terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat. Jadual perjalanan hanya mahu menziarah beberapa tempat seperti makam Teungku Syiah dan Muzium Tsunami.
“Walaupun tak berkesempatan melawat Muzium Tsunami, tapi alhamdulillah kami diberi rezeki menyaksikan hukuman sebat,” katanya.
Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dijangka akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Kerajaan akan mengambil alih pembentangan usul berkenaan daripada Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Antara kandungan pindaan termasuk meningkatkan bilangan hukuman rotan kepada 100 sebatan selain akan dilakukan berdasarkan syariat Islam yang lebih kepada memberikan pengajaran bukan menyakitkan.
Kuala Lumpur: Pesalah maisir (berjudi) dan ikhtilat (berkhalwat) dipanggil di depan khalayak ramai, diumumkan maklumat peribadi mereka dan kemudian dijatuhkan hukuman sebat bergantung kepada kesalahan masing-masing.