Marang: Semangat luar biasa atlet muda Terengganu dalam Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 di Taman Botani Negara di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu amat mengagumkan apabila menamatkan perlumbaan itu dengan mengensot dan merangkak.
Muhammad Faizal Hafis Adnan, 12, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, di sini, mengerah sisa-sisa tenaga yang ada untuk menamatkan perlumbaan itu menuju garisan penamat yang tidak sampai enam meter di hadapannya selepas rebah kerana kekejangan otot.
Keazaman dan kekuatan semangatnya itu mendapat perhatian ramai selepas video rakamannya tular di media sosial sejak semalam.
Kesungguhan yang dipamerkan mendapat reaksi positif netizen yang menonton rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat ditularkan.
Muhammad Faizal Hafis yang menetap di Kampung Pantai Tukang Perahu berkata, dia mahu membuktikan penyertaannya dalam kejohanan itu bukan hanya melengkapkan jumlah peserta tetapi mampu menjadi pesaing.
Menurutnya, dia mula mengalami kekejangan otot kira-kira 200 meter sebelum menamatkan perlumbaan hingga menyebabkan di rebah tiga kali.
“Selepas rebah kali ketiga memang sudah tidak berupaya untuk bangkit semula, ada pegawai kejohanan yang cuba bantu tetapi saya tetap mahu menamatkan perlumbaan dan terpaksa merangkak melepasi garisan penamat,” kata atlet yang meminati pelumba lari jarak jauh Britain, Mo Farah.
Kegigihan Muhammad Faizal Hafis berbaloi apabila berjaya membantu kontinjen Terengganu menjuarai kategori bawah 12 tahun serta tempat ketiga keseluruhan kejohanan.
Marang: Semangat luar biasa atlet muda Terengganu dalam Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 di Taman Botani Negara di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu amat mengagumkan apabila menamatkan perlumbaan itu dengan mengensot dan merangkak.