Sungai Petani: Sekurang-kurangnya dua ribu kampit beras 5kg diagihkan percuma di perkarangan rumah pesara guru di Tikam Batu, dekat sini, hari ini.
Malah, penduduk dan orang ramai mula memenuhi perkarangan rumah Abdul Ghani Haron, 60, bagi mendapatkan beras percuma, seawal 6.30 pagi, hari ini.
Katanya, dua ribu kampit beras bernilai RM22,4000 diagihkan kepada orang ramai dengan 1,500 kampit diagih di rumahnya yang selesai diberikan dalam 30 minit.
Selain itu, katanya, 500 kampit beras diasihkan pula di Masjid Kampung Permatang Tengah, Kota Kuala Muda.
Katanya, semua sumbangan beras dan barang keperluan harian lain diusahakan dirinya dan beberapa kenalan di laman Facebook (FB).
Cikgu Ghani berkata, sumbangan beras ini adalah sebahagian progam sedekah jariah dilakukannya bersama rakan FB bertujuan meringankan beban masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan.
"Dalam keadaan ekonomi yang kurang baik ditambah kenaikan harga barangan pasti memberi kesan kepada orang ramai terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Saya harap pemberian beras percuma sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka ini yang paling banyak terjejas kerana kenaikan harga barang keperluan harian," katanya.
"Rabu depan, saya akan mengagihkan kira-kira 700 kampit beras sekitar Masjid Kampung Padang Setol dan Pokok Machang, Bukit Selambau.
"Bukan beras saja, saya dan rakan FB turut menyalurkan pelbagai barangan keperluan harian lain seperti minyak masak, ayam, lampin pakai buang, susu bayi dan petrol," katanya.

Sungai Petani: Sekurang-kurangnya dua ribu kampit beras 5kg diagihkan percuma di perkarangan rumah pesara guru di Tikam Batu, dekat sini, hari ini.



