Kuala Lumpur: Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol beredar dari pejabatnya di Jalan Batai, Kota Damansara, di sini, jam 3.56 petang tadi.
Kang Chol beredar menaiki kenderaan rasmi kedutaan model Jaguar berwarna hitam bersama dua lagi lelaki dan seorang wanita.
Sebelum itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dilihat keluar dengan membawa beberapa barangan bagasi jam 2.30 petang tadi.
Kang Chol dijangka menaiki penerbangan ke Beijing kira-kira jam 6.30 petang ini selepas tempoh 48 jam yang diberikan sejak kelmarin, tamat 6 petang ini.
Sementara itu, di Sepang, empat kotak dibalut kemas serta bertulis DPRK Pyongyang, tiga bagasi dan satu kotak televisyen jenama Philips didaftarkan di kaunter daftar masuk C17 Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Urusan daftar masuk bagasi berkenaan bermula jam 3.45 petang serta tamat kira-kira 15 minit kemudian.
Kelihatan tiga pasport serta tiga tiket penerbangan diperiksa kakitangan di bahagian kaunter bagi urusan daftar masuk barangan dan bagasi berkenaan.
Kang Chol akan berlepas ke Beijing menerusi penerbangan MAS, MH360 berdasarkan maklumat tag bagasi dan barangan didaftarkan tertera nombor pesawat itu.
Pada 4 Mac lalu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dilaporkan berkata, Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik dihantar ke Kedutaan Korea Utara bagi memaklumkan Kang Chol diisytiharkan sebagai 'Persona Non Grata' selepas gagal menghadirkan diri ke mesyuarat di Wisma Putra.
Kuala Lumpur: Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol beredar dari pejabatnya di Jalan Batai, Kota Damansara, di sini, jam 3.56 petang tadi.