Bota: Sebuah kereta Mercedes Benz ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan ditengah persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh - Lumut, berhampiran Bota Kiri, di sini, hari ini, yang dikhuatiri mempunyai ancaman bom.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, beberapa penduduk berhampiran jalan berkenaan dikatakan mendengar jeritan seorang lelaki yang memakai pakaian kelihatan seperti pakaian seragam pasukan keselamatan mengatakan ada bom dalam kereta berkenaan.
Menurut penduduk Zulkifli Mohd Ariffin, 50, lelaki terbabit menjerit sebaik keluar dari kenderaan itu sebelum meninggalkannya dalam keadaan enjin hidup dan kemudian beredar menaiki sebuah kereta lain.
"Ketika itu kumpulan pelumba Le Tour de Langkawi baru melalui persimpangan terbabit dalam saingan dari Manjung ke Cameron Highlands dan lelaki terbabit secara tiba-tiba memberhentikan kereta Mercedes itu dan keluar sebelum menjerit ada bom dan meminta orang ramai lari.
"Kami yang berada di tepi jalan terbabit terkejut dan bertempiran lari, namun ada yang melihat lelaki berkenaan menaiki sebuah kereta lain dan beredar," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat mengenai ancaman bom berkenan, namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada ancaman itu benar atau palsu.
Tinjauan Harian Metro dilokasi kejadian mendapati kenderaan terbabit masih berada di persimpangan lampu isyarat berkenaan dan polis mengawal kawasan sekitar.
Difahamkan polis masih menunggu Unit Pemusnah Bom (UPB) untuk menjalankan siasatan terhadap kendeeaan yang mencurigakan itu.
Seorang lelaki yang bergari dan berpakaian seragam warna hijau dipercayai individu yang menjerit mengenai ancaman bom terbabit turut dilihat dibawa ke lokasi kejadian oleh pasukan polis, namun hanya seketika sahaja sebelum dibawa pergi menaiki kenderaan polis.
Bota: Sebuah kereta Mercedes Benz ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan ditengah persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh - Lumut, berhampiran Bota Kiri, di sini, hari ini, yang dikhuatiri mempunyai ancaman bom.