Sungai Petani: Tindakan seorang lelaki memaksa isteri dan tiga anak perempuannya mengemis sejak 29 Januari lalu di sekitar daerah ini mengundang padah apabila dia ditahan, pagi tadi.
Penganggur berusia 36 tahun itu ditahan jam 1.30 pagi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Md Zukir Md Isa berkata, suspek sebelum ini membawa isteri berusia 29 tahun dan tiga anak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun tinggal bersama ibu wanita itu di Taman Ria, di sini, 10 Januari lalu.
Menurutnya, bagaimanapun suspek mengambil semula mereka pada 29 Januari lalu kononnya ingin ke Pulau Pinang namun sebaik tiba di perhentian bas di taman itu, lelaki terbabit membelasah isterinya selepas mendakwa mangsa curang.
"Selepas memukulnya, suspek memaksa isteri dan anak-anaknya mengemis dan jika enggan, mereka akan dipukul.
"Bagaimanapun mangsa berjaya diselamatkan pada jam 10.30 malam Khamis lalu oleh anggota Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) Sungai Petani yang menerima aduan daripada orang awam, empat beranak itu mengemis di hadapan sebuah bank di Pekan Baru," katanya.
Md Zukir berkata, mangsa yang diselamatkan kemudian dibawa pulang ke rumah ibunya sebelum membuat laporan polis semalam.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya.
Sungai Petani: Tindakan seorang lelaki memaksa isteri dan tiga anak perempuannya mengemis sejak 29 Januari lalu di sekitar daerah ini mengundang padah apabila dia ditahan, pagi tadi.