Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Hasrat tertunai sebelum meninggal

$
0
0
Utama

nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harapannya bertemu dua anak yang terpisah hampir 20 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir tertunai selepas permohonannya itu tular di laman sosial.

Itu pengakhiran Siti Hashia Abdullah, 74, yang meninggal dunia semalam selepas dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak sebulan lalu akibat sakit jantung.

Kisah wanita itu tular di laman sosial dua hari lalu selepas seorang lagi anaknya, Aznor Abu Bakar, 49, memuatnaik status mencari abang dan adiknya.

Aznor berkata, dia bersyukur abangnya, Azli Abu Bakar, 52, dan adiknya, Muhammad Zairi Abu Bakar, 41, tiba di HKL dan sempat bertemu ibu buat kali terakhir selepas terbaca status yang dimuat naik di laman sosial itu.

"Alhamdulillah, usaha saya sejak beberapa hari lalu berjaya apabila abang dan adik yang sudah terpisah hampir 20 tahun lalu bersatu semula. Paling penting mereka berdua sempat bertemu sebelum ibu menghembuskan nafas terakhir semalam.

"Saya buntu dan tak tahu nak buat macam mana sebelum ini. Jadi saya dan anak saudara mengambil langkah memuatnaik status dan gambar ibu di Facebook dan mencipta 'Group Whatsapp' untuk mencari abang dan adik saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut kakitangan swasta itu, ketika ibunya menghembuskan nafas terakhir adik beradiknya semua berada di sisi ibu kecuali adik bongsu yang sedang menunaikan umrah di Makkah sejak beberapa minggu lalu.

"Sebelum menunaikan umrah adik bongsu sentiasa melawat ibu di HKL cuma abang yang juga anak kedua dan adik (anak keempat) tidak dapat dikesan dan mereka juga tidak tahu mengenai keadaan ibu selama beberapa tahun.

“Kali terakhir kami semua berjumpa ketika arwah ayah meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu. Sejak itu kami terputus hubungan dengan abang dan adik.

"Difahamkan, ketika masih kecil abang juga diserahkan kepada orang lain manakala adik membawa haluan masing-masing selepas berumahtangga dan kehilangannya tidak dapat dikesan," katanya.

Katanya, ibu ada mengamanahkan kepadanya untuk mencari abang dan adik biar dengan apa cara sekalipun kerana dia mahu sangat bertemu dengan kedua anaknya itu sebelum dia pergi.

"Lega dan tak dapat nak gambarkan perasaan ketika ini apabila berjaya menyatukan semula hubungan silaturrahim yang sudah lama terpisah ini. Biarlah ibu pergi dengan tenang dan kami sentiasa mendoakan agar ibu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.

Image: 

Kuala Lumpur: Harapannya bertemu dua anak yang terpisah hampir 20 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir tertunai selepas permohonannya itu tular di laman sosial.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853