Kota Kinabalu: Abhsoy Kassim, 26, kru bot karam berhampiran perairan Pulau Mengalum, kelmarin yang masih belum ditemui baru enam bulan berkahwin.
Isteri Abhsoy, Amelia Samanail, 21, berkata, sehingga kini dia belum melelapkan mata kerana memikirkan nasib suaminya.
"Sejak malam tadi hingga pagi ini, saya bersama ibu bapa serta keluarga mentua masih menunggu dengan harapan suami saya ditemui dalam keadaan selamat.
"Saya amat merinduinya kerana mahligai yang kami bina baru berusia enam bulan," katanya sebak.
Abhsoy bersama lima pelancong warga China sehingga kini masih belum ditemui dan operasi SAR giat dijalankan pasukan penyelamat.
Dalam kejadian itu, 22 selamat termasuk dua kru bot, manakala tiga terkorban akibat lemas.
Ibu Abhsoy, Anni Tambuyung, 47, berkata nalurinya kuat mengatakan anaknya itu masih hidup dan berharap Abhsoy segera ditemukan.
"Sebaik menerima laporan berita mengenai kehilangan anak saya 7 malam tadi, saya bersama suami, anak serta isteri Abhsoy bergegas ke Jeti PPM. Bagaimanapun, belum menerima apa-apa perkembangan.
"Kira-kira 6 pagi tadi, saya bersama keluarga termasuk dari Kudat berkumpul berhampiran Jeti PPM menunggu dan berharap anak saya ditemukan selamat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ahli keluarga Abhsoy setia menanti di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), sejak 6 pagi tadi.
Kota Kinabalu: Abhsoy Kassim, 26, kru bot karam berhampiran perairan Pulau Mengalum, kelmarin yang masih belum ditemui baru enam bulan berkahwin.