Reyhanli (Turki): Baru berusia sembilan tahun namun memikul tugas berat mengganti tugas bapanya yang kini cacat akibat dibom roket anti kereta kebal.
Itu tanggungjawab Muhammad abang kepada enam adik berusia antara 10 bulan hingga tujuh tahun.
Ayahnya, Aiman Salamah, 30-an, kini buta, hilang kedua -dua kaki, patah tangan dan pendengaran berkurangan.
"Cita-cita saya adalah menjaga ayah sebaiknya. Jika perlu membeli apa-apa barang untuk ayah dan keluarga saya sanggup lakukan.
"Semasa ayah tiada dua bulan, saya rasa sangat sunyi walaupun rakan ayah ada menjaga kami," katanya yang mahukan tempat asalnya di Idlib kembali aman.
Dia ditemui ketika ziarah mangsa konflik Syria oleh kumpulan misi bantuan musim sejuk anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) bermula 25 Januari sehingga 4 Februari depan di rumah pelarian Syria di sempadan Turki-Syria, di sini.
Ayahnya parah dalam kejadian 27 November 2015 di Zitan pinggiran barat Aleppo, Syria ketika bekerja dan dibawa keluar ke Turki meninggalkan keluarganya selama dua bulan sebelum menyusul ke daerah ini.
Sementara itu, Aiman tidak menganggap tragedi terhadapnya sebagai musibah dan tidak mahu menyimpan dendam.
"Ini adalah kemuliaan dan penghormatan yang Allah berikan kepada saya.
"Apabila diuji begini, saya teringatkan sahabat Rasulullah menerima ujian lebih hebat," katanya.
Dalam kejadian itu mekanik berkenaan sedang membaik pulih kenderaan apabila diserang tentera Syiah Iraq.
"Kejadian itu menyebabkan saya buta, hilang kedua-dua kaki, patah tangan dan pendengaran berkurangan.
"Memang sehingga kini masih trauma dan tragedi itu sering termimpi-mimpi," katanya yang kini berlindung bersama keluarganya.
Dalam serangan itu, Aiman berkata dia difahamkan 85 terkorban dan ramai lagi cacat.
Kini dia hidup dalam serba kekurangan bersama isterinya Mariam, 30-an, dan tujuh anak iaitu Muhammad, Sidra, 7, Ummu, 6, Ali, 5, Amal, 3 dan bongsu kembar berusia 10 bulan Faisal dan Dua.
Sementara itu Ali, 25, adik Aiman yang membantunya keluar dari Syria berkata, pada mulanya dia sangkakan Ali sudah mati.
"Ketika dalam perjalanan ke Hospital Babul Hawa sempadan Syria-Turki, Aiman tak sedar dan saya sangka dia mati.
"Tetapi saya gagahkan jua bawa kereta ke hospital," katanya mengambil alih menanggung keluarga Aiman selain isteri dan dua anak sendiri.

Reyhanli (Turki): Baru berusia sembilan tahun namun memikul tugas berat mengganti tugas bapanya yang kini cacat akibat dibom roket anti kereta kebal.



