“Awesome! Very hard work! Well done!”
Itu komen ringkas Juara Kejohanan Beatbox Amerika Syarikat 2016, Mark Martin, mengenai video tiga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bongkol di Pitas, Sabah melakukan ‘beatbox’.
‘Beatbox’ ialah satu bentuk seni yang menghasilkan bunyi-bunyi beritma dan mengajuk ketukan drum menggunakan mulut, bibir, lidah dan suara.
Harian Metro menghubungi Martin menerusi Facebook (FB) Messenger, selepas video yang dimuat naik guru muzik sekolah itu, Mohd Mustaqim Zulzaini, 29, pada 23 Januari lalu tular di FB.
Sehingga berita ini ditulis, video itu ditonton lebih 129,000 kali selain dikongsi semula lebih 2,000 kali dengan mendapat komen yang positif.
Mohd Mustaqim yang dihubungi semalam berkata, dia kagum dengan bakat dimiliki murid sekolah itu yang terletak hampir 200 kilometer timur laut Kota Kinabalu.
"Semuanya secara kebetulan apabila ada murid memberitahu, rakan mereka pandai melakukan beatbox. Saya panggil mereka, iaitu Arniel Armando, Benedick Recaldo Jibbin dan Maqderd Estern Mahin dan buat rakaman.
"Seorang daripada mereka kata kalau video mereka tular, saya perlu beri RM10. Nampaknya memang saya perlu beri wang itu," katanya.
"Saya dah agak video mereka akan dapat sambutan kerana mereka memang berbakat dan hebat sedangkan akses kemudahan di sini agak terhad.
"Saya cadang nak buat rakaman betul-betul dengan mereka selepas peralatan muzik saya tiba dari Kapit, Sarawak nanti," katanya yang baru berpindah ke SK Bongkol sebulan lalu.
Sementara itu, Suzaini Samtong, 33, ibu kepada Benedick Recaldo berkata, dia pada mulanya menganggap perbuatan anaknya itu biasa.
"Sebelum ini saya ingat biasa saja sebab kalau dia ada buat bunyi-bunyi lepas dengar muzik saya akan suruh senyap.
"Tapi bila kawan-kawan mula 'tag' saya di video berkenaan kata anak saya berbakat, timbul rasa bangga pula," katanya yang juga ibu tunggal.
Suzaini yang bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan berkata, dia pastinya akan menyokong minat anak tunggalnya itu.

“Awesome! Very hard work! Well done!”



