Kota Bharu: Dua remaja yang dilaporkan hilang di Pantai Tok Bali, dekat, Pasir Puteh, Ahad lalu, ditemui lemas di Pantai Belawan di Takbai, Narathiwat, Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, mayat mereka ditemui orang awam.
Katanya, jasad Amir Azfar Rafar, 13, ditemui pada 9.30 malam tadi, manakala arwah Ahmad Haziem Anizan, 14, pada 10.30 pagi ini.
Katanya, lokasi mayat kedua-dua mangsa lemas adalah pada kedudukan kira-kira 90 kilometer (km) dari Pantai Tok Bali.
"Jarak antara mayat pertama dan kedua ditemui adalah 5 kilometer. Mayat pertama dijumpai berseluar panjang merah manakala mayat kedua memakai baju-T warna gelap.
“Kedua-dua mayat mempunyai persamaan sebelum mereka dilaporkan dikhuatiri lemas, Ahad lalu.
"Bagaimanapun, keadaan mayat pertama agak sukar dikenal pasti kerana kecederaan yang serius pada bahagian atas kepala," katanya dalam sidang media, ketika ditemui di sini, hari ini.
Ab Rahman berkata, polis Kelantan sudah menghubungi kedua-dua keluarga mangsa untuk proses pengecaman mayat di Hospital Narathiwat.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, kejadian 4.30 petang Ahad lalu, dua remaja itu dkkhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakannya yang terselamat.
Kota Bharu: Dua remaja yang dilaporkan hilang di Pantai Tok Bali, dekat, Pasir Puteh, Ahad lalu, ditemui lemas di Pantai Belawan di Takbai, Narathiwat, Thailand.