norasikin_daineh@hmetro.com.my
Tawau: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 10 individu termasuk dua lelaki dalang sindiket kad pengenalan palsu dalam Operasi Khas JPN Bilangan 2 di sini, malam tadi.
Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Mohamad Yusri Hashim berkata, sebanyak 29 kad pengenalan palsu dalam simpanan salah seorang ejen kad itu yang ditahan di sebuah hotel dan wang tunai 17,100 dolar AS bersama RM200 dipercayai palsu.
"Operasi ini dilaksanakan di dua lokasi iaitu di sebuah hotel terkemuka di daerah ini dan di kawasan Kampung Tanjung Batu serta berjaya menahan 10 individu terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun.
"Dua yang ditahan adalah warga tempatan yang menjadi dalang pemalsuan kad pengenalan manakala tujuh lagi dari Indonesia yang menggunakan kad pengenalan palsu selain terbabit menjadi ejen bagi mendapatkan pembeli yang ingin membeli dokumen terbabit daripada sindiket.
"Seorang lagi adalah warga Filipina yang bertindak sebagai jurugambar serta mengambil cap jari untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu," katanya dalam sidang media selepas operasi itu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini.
Katanya lagi, operasi itu adalah susulan daripada tangkapan pertama yang dilakukan di Sandakan lebih sebulan lalu iaitu seramai tujuh individu termasuk tiga daripadanya adalah ejen kepada kad pengenalan palsu.
"Kita percaya kad pengenalan palsu itu dicetak di Tawau dan mereka ini aktif sejak Januari lalu menerusi hasil penelitian pada resit traksaksi bank yang dilakukan membabitkan wang bernilai sehingga puluhan ribu ringgit.
"Secara keseluruhan operasi ini dipercayai menumpaskan sindiket pemalsuan yang terbesar yang berlaku di Tawau dan sekitarnya termasuk di Semporna dan Lahad Datu. Kad pengenalan palsu ini juga mempunyai beberapa kategori dengan harga paling murah RM1,500 dan termahal antara RM10,000 sehingga RM15,000," katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Yusri turut yakin susulan daripada operasi ini lebih banyak lagi tangkapan yang akan dilakukan oleh pihak JPN dalam membanteras sindiket pemalsuan kad pengenalan di negeri ini.
Tawau: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 10 individu termasuk dua lelaki dalang sindiket kad pengenalan palsu dalam Operasi Khas JPN Bilangan 2 di sini, malam tadi.