Kuala Lumpur: Tidak sampai hati untuk menghalau empat sekeluarga apabila melihat pakaian sudah berada di luar rumah malah sanggup kehilangan RM44,500 wang deposit pembelian rumah lelong itu.
Demikian keputusan dibuat seorang lelaki dan keluarganya yang membatalkan hasrat memiliki rumah itu selepas melihat sendiri keadaan keluarga dan rumah berkenaan.
Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Lee Hui Sen memberitahu perkara itu kepada pemilik rumah dalam sepucuk surat.
Dia turut menzahirkan rasa simpati dan memberi nasihat dalam surat berkenaan yang tular di Facebook (FB) sehingga dikongsi hampir 2,000 kali selepas dimuat naik seorang wanita, .
Isteri pemilik rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 42, berkata, dia menemui surat berkenaan yang diletakkan dalam peti surat rumahnya pada 21 Julai lalu.
"Saya tak percaya sebab takut kena 'scam' atau orang buat main-main, tetapi bila saya buat semakan menerusi peguam memang benar pembeli berkenaan tulis surat itu.
"Saya tak kenal dan tidak tahu pembeli itu tetapi rasa bersyukur sangat kerana bila dapat surat untuk kosongkan rumah itu saya dah putus harapan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Lee dalam surat itu yang ditujukan kepada suami Nor simpati dengan nasib mereka sekeluarga dan meminta maaf kerana membeli rumah berkenaan.
"Keluarga saya sudah buat keputusan, untuk tidak beli rumah encik lagi. Walaupun kita sudah payah (bayar) 'high court' 10% (RM44,500).
"Kita akan kehilangan wang itu, tapi itu wang akan pergi ke bank account rumah encik. Harap itu adalah penolongan (pertolongan) kecil untuk encik," katanya menerusi surat dua muka surat ditulis tangan.
Sementara itu, Nor berkata dia berhasrat bertemu dengan Lee sendiri untuk menyampaikan ucapan penghargaan kepada lelaki itu dan keluarganya.
"Memang ada rasa nak jumpa, nak tahu orangnya macam mana, tetapi saya perlu selesaikan masalah rumah ini dahulu,” katanya.
Rumah yang sudah diduduki sejak 18 tahun lalu itu pernah dilelong empat kali sejak dua tahun lalu sebelum bayaran RM40,000 dibuat bagi penjadualan semula bayaran.
"Hasrat nak selesaikan masalah pinjaman bank masih membelenggu saya sehingga sekarang walaupun sudah membayar RM40,000," katanya yang juga peniaga sambilan.
Terdahulu Nor membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai masalahnya yang ditekan sebuah bank sehingga diisytiharkan musflis walaupun bukti hutang tidak pernah difailkan bank tersebut kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.
"Bank menjanjikan kepada saya untuk menjadualkan semula pinjaman selepas saya buat bayaran itu dan tidak akan memufliskan saya.
"Malangnya, bank berkenaan tidak menunaikan janji dan melelong rumah saya tanpa sebarang notis selepas memufliskan saya," katanya.
Nor turut membuat semakan di Jabatan Insolvensi Malaysia dan mendapati bank berkenaan tidak pernah memfailkan bukti hutang kepada jabatan itu.
Kuala Lumpur: Tidak sampai hati untuk menghalau empat sekeluarga apabila melihat pakaian sudah berada di luar rumah malah sanggup kehilangan RM44,500 wang deposit pembelian rumah lelong itu.