Kuala Lumpur: Polis sudah menahan 14 individu yang dikenalpasti terbabit dengan Perhimpunan Bersih 5.0 termasuk Maria Chin Abdullah dan pemimpin NGO Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) Datuk Seri Jamal Yunos.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tangkapan dilakukan bertujuan untuk mencegah berlakunya rusuhan, pecah keamanan dan mengugat ketenteraman awam pada perhimpunan ini.
Katanya, antara yang ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan ialah Ronnie Liu, Mandeep Singh, Muhammad Luqman Nul Haqim, S Arutchelvan, Jimmy Wong, Lee Khai Meng, Anis Syafiqah Md Yusof, Hairol Nizam Md Nor, Razali Zakaria dan Muhamad Safwan Anang.
"Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki dikenali sebagai Anthony Loke, 39, di sebuah hotel di KL Sentral bersabit Perhimpunan Bersih di Seremban dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
"Dua pemimpin NGO GNGMM Datuk Seri Jamal Yunos, 46, dan Ariffin Abu Bakar @ Ipin Keramat, 46, turut ditahan mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan bersabit himpunan Bersih di Ampang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Amar Singh, polis turut melakukan serbuan di pejabat Bersih di Petaling Jaya, Selangor dan menahan Maria Chin Abdullah 60 tahun.
Katanya, siasatan dijalankan berikutan pendedahan media berhubung beberapa individu yang dipercayai menerima sumbangan dana asing dan dikenalpasti mempunyai hubungan dengan Open Society Foundation (OSF).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
"Semua tahanan akan dipohon reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan polis masih memburu beberapa lagi individu yang terbabit dengan perhimpunan ini," tegasnya.
Kuala Lumpur: Polis sudah menahan 14 individu yang dikenalpasti terbabit dengan Perhimpunan Bersih 5.0 termasuk Maria Chin Abdullah dan pemimpin NGO Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) Datuk Seri Jamal Yunos.