Bukit Kayu Hitam: Anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKK) Kedah merampas 55,000 liter diesel dan 18,000 liter petrol bernilai RM135,000 di kawasan perindustrian di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah Shahrudin Hamzah berkata, bahan api itu ditemui di dua premis bersebelahan yang dipercayai dijadikan stor menjual bahan itu kepada kenderaan Thailand.
Katanya, hasil risikan selama dua minggu, serbuan yang disertai 20 anggota pada 11 pagi itu, menemui diesel dan petrol disimpan dalam empat tangki di sebuah premis manakala sebuah premis lagi hanya menyimpan 500 liter diesel dalam bekas fiber.
"Selain empat tangki berkenaan, kami juga menyita sebuah lori tangki dipercayai mengangkut minyak berkenaan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang. Ketika serbuan, lori tangki itu sudah kosong kerana minyak dibawanya sudah dipindahkan ke tangki terbabit.
"Seorang pemandu lori dan penyelia stor berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan lesen urus niaga bahan kawalan," katanya pada sidang media di kawasan serbuan, petang tadi.
Shahrudin berkata, hasil semakan mendapati lesen urus niaga premis terbabit dibatalkan pada September lalu namun masih beroperasi secara haram.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1962 dibaca bersama peraturan 3(1) kawalan bekalan 1974.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tiga tahun dan bagi syarikat, denda tidak lebih RM2 juta," katanya.

Bukit Kayu Hitam: Anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKK) Kedah merampas 55,000 liter diesel dan 18,000 liter petrol bernilai RM135,000 di kawasan perindustrian di sini, hari ini.



