Kuala Lumpur: Seramai 16 lelaki, termasuk 14 anggota ‘Gagak Hitam’ berusia antara 20 hingga 38 tahun termasuk seorang guru kaunseling sekolah ditahan bermula 21 September sehingga 6 Oktober lalu, kerana disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua suspek ditahan dalam operasi Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.
Katanya, 15 individu yang ditahan itu adalah rakyat Malaysia dengan pelbagai latar belakang, termasuk peniaga, juruteknik, guru kaunseling sekolah, kakitangan bank, eksekutif, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pencari barangan antik dan penganggur manakala seorang lagi berasal daripada utara Afrika.
"Seramai 14 suspek itu disyaki anggota kumpulan Daesh dari sel 'Gagak Hitam' diketuai Muhammad Wanndy Mohamed Jedy yang juga perancang utama serangan bom di kelab Movida, Puchong, pada 28 Jun lalu.
"Seorang lagi suspek yang juga penuntut IPTA di Johor berusia 20 tahun di kenal pasti berlepas ke Turki sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu selepas dipercayai merancang menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara terbabit," katanya.
Khalid berkata, warga Afrika berusia 32 tahun yang ditahan di Selangor itu disyaki kumpulan pengganas Jahbat Al Nusra di Syria dan terbabit dengan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan di negara ini.
Menurutnya, semua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA iaitu Kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Kuala Lumpur: Seramai 16 lelaki, termasuk 14 anggota ‘Gagak Hitam’ berusia antara 20 hingga 38 tahun termasuk seorang guru kaunseling sekolah ditahan bermula 21 September sehingga 6 Oktober lalu, kerana disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas.