Kuala Lumpur: Polis akan membuat permohonan melanjutkan reman lelaki berusia 26 tahun yang ditahan berhubung kehilangan Noor Amila Edrus Norsham, 5, selepas dia ditahan sekitar Jinjang di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, sejak ditahan, suspek direman empat hari sehingga hari ini.
“Esok (hari ini) kita akan buat permohonan lanjutkan reman dan setakat ini siasatan hanya membabitkan seorang individu," katanya di sini, malam tadi, mengulas kes penemuan mayat Noor Amila Edrus di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, semalam.
Menurutnya, kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang di Jinjang pada 11 Ogos lalu, dan ia disiasat sebagai kes kehilangan kanak-kanak.
Sejak Noor Amila Edrus dilaporkan hilang, kes itu mulanya disiasat sebagai kes orang hilang sebelum bertukar menjadi kes culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan selepas suspek ditahan.
"Namun selepas mayat mangsa ditemui hari ini (semalam), kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya yang menegaskan motif pembunuhan masih disiasat.
Polis menemui mayat mangsa di kawasan semak itu selepas dibawa suspek yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga kanak-kanak terbabit, ke kawasan berkenaan, tengah hari semalam.
Setakat ini, polis enggan mengulas mengenai dakwaan menyatakan mayat kanak-kanak itu ditemui dengan kepalanya terpisah daripada badan.
Noor Amila Edrus, anak sulung daripada dua beradik, tinggal bersama bapa dan ibu tirinya di Jinjang Utara.

Kuala Lumpur: Polis akan membuat permohonan melanjutkan reman lelaki berusia 26 tahun yang ditahan berhubung kehilangan Noor Amila Edrus Norsham, 5, selepas dia ditahan sekitar Jinjang di sini, Isnin lalu.



