Putrajaya: Perlu ada had untuk permainan Pokemon Go agar institusi agama tidak tercemar dalam keasyikan masyarakat terhadap permainan itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.
Beliau berkata, tempat ibadat termasuk masjid tidak sepatutnya digunakan sebagai lokasi pencarian karektor permainan itu.
Othman, yang turut mencuba permainan tersebut bagi melihat sendiri fungsinya mendapati Pokemon turut berada di kawasan masjid dan surau.
Pada pendapat beliau, pihak yang membangunkan aplikasi berkenaan tidak begitu sensitif terhadap pusat ibadat yang tidak sesuai dijadikan gelanggang permainan aplikasi maya itu.
"Permainan ini pada pendapat saya bagus kerana ia menggalakkan masyarakat beriadah sambil bersenam kerana memerlukan kita berjalan mencari karektor, namun perlu ada hadnya," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, tidak elok seseorang ke tempat ibadat hanya untuk bermain permainan itu malah beliau berpendapat permainan berkenaan turut mendatangkan pelbagai mudarat.
"Di luar negara ada pemain memasuki kawasan privasi seperti rumah orang dan kawasan larangan hingga ke tahap ada yang tercedera dan meninggal akibat permainan itu," katanya.
Tinjauan di dua masjid di Putrajaya iaitu Masjid Putra, Presint 1 dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3 di sini hari ini, mendapati kedua-dua tempat itu diletakkan sebagai tempat 'PokeStop' untuk mendapat 'reward’ atau hadiah.
Malah kedua-dua tempat ibadat bagi orang Islam itu turut dijadikan 'PokeGyM', medan pertarungan bagi pemain yang sudah mula mencapai tahap lima.
Tinjauan melalui aplikasi itu mendapati PokeStop dan PokeGym juga terdapat di hampir semua tempat tumpuan orang ramai dan bangunan kerajaan serta kementerian sekitar Putrajaya.
Putrajaya: Perlu ada had untuk permainan Pokemon Go agar institusi agama tidak tercemar dalam keasyikan masyarakat terhadap permainan itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.