Kuala Lumpur: “Kereta saya dibaling telur kerana disangka pemandu Uber,” kata penuntut, Chan Sau Mun, 20.
Menurutnya, kejadian berlaku di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya ketika dia hendak menjemput rakannya, kira-kira 10 pagi, Rabu lalu.
Sau Mun berkata, dia memberhentikan Perodua Myvi di kawasan pandu lalu di stesen itu untuk menjemput rakannya untuk ke Paradigm Mall.
“Ketika itu, terdapat Perodua Myvi di hadapan kereta saya yang juga sedang mengambil penumpang. Ketika rakan saya hendak menaiki kereta, ada lelaki berkemeja putih menjerit ke arah kami dan kami tak tau mengapa.
“Sejurus rakan berada dalam kereta dan pintu sudah ditutup, saya dengar seperti bunyi ‘ketukan kecil’ di belakang kereta.
“Saya kemudian nampak ada seorang lagi lelaki berpakaian sama yang kemudiannya membaling telur ke cermin belakang kereta saya,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Menurutnya, rakannya yang terkejut dengan tindakan itu bertindak keluar daripada kenderaan dan bertanyakan punca tindakan sedemikian.
“Saya tidak keluar. Cuma mendengar perang mulut antara rakan saya dan kedua-dua lelaki itu yang menuduh saya ini kononnya pemandu Uber.
“Walaupun rakan saya sudah membuat penjelasan namun mereka tetap enggan menerimanya sebelum kami beredar dari lokasi kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tiada kerosakan dialami berikutan insiden itu menyebabkan dia dan rakannya tidak membuat laporan polis.
Sau Mun meluahkan perasaannya mengenai kejadian itu di Facebook yang antara lainnya kecewa dengan perangai kedua-dua lelaki itu dan tidak sangka dirinya akan terbabit dengan ‘drama’ teksi dan Uber.
Kuala Lumpur: “Kereta saya dibaling telur kerana disangka pemandu Uber,” kata penuntut, Chan Sau Mun, 20.