Kelana Jaya: Kehadiran tiga beradik yang memakai beg sandang bertulis 'Jemaah Haji Malaysia' berwarna kuning mencuri tumpuan orang ramai yang berada di ruang menunggu Kompleks Tabung Haji, di sini, pagi tadi.
Muhammad Asyreen Halim, 17, bersama dua abangnya, Muhammad Asyrif, 18, dan Muhammad Asyraf, 22, beriringan ke kaunter pendaftaran selepas panggilan dibuat terhadap penumpang penerbangan KT05 yang akan berlepas 4 petang ini.
Kedua ibu bapa jemaah haji muda itu, Halim Paimin, 51, dan Asmah Abdullah, 50, dilihat sebak ketika bersalaman dan berpelukan sebelum ketiga-tiga anak mereka masuk mendaftar.
"Saya mendaftar nama kami sekeluarga pada 2005 selepas pulang mengerjakan haji buat kali pertama bersama suami.
"Alhamdulillah tahun ini anak-anak saya terpilih tetapi mereka terpaksa pergi bertiga,” katanya.
Menurut Asmah, dia dan suami tidak terpilih bersama anak-anaknya dan hanya restu dan doa ibu mengiringi pemergian ketiga-tiga anaknya itu ke Tanah Suci.
"Sebagai ibu pasti perasaan bimbang dan sedih itu ada, namun saya yakin mereka dapat menyempurnakan rukun Islam kelima ini dan mendapat haji mabrur," katanya.
Katanya, selain pernah menjejakkan kaki ke Makkah mengerjakan umrah, ketiga-tiga anaknya itu sudah diberikan ilmu dan kursus yang lengkap mengenai ibadah itu.
Kelana Jaya: Kehadiran tiga beradik yang memakai beg sandang bertulis 'Jemaah Haji Malaysia' berwarna kuning mencuri tumpuan orang ramai yang berada di ruang menunggu Kompleks Tabung Haji, di sini, pagi tadi.