Kuala Lumpur: Bapa kepada empat anak, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, cukup teruja untuk menyambut Aidilfitri baru-baru ini bersama keluarga disamping menghadiri majlis graduasi anak perempuannya yang menamatkan pengajian Sarjana dari Brunel University, London.
Bagaimanapun, hanya selepas 20 minit dia keluar daripada Balai Ketibaan Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai, Ketua Kerani di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Negeri Sembilan itu, diserang angin ahmar sehingga menyebabkannya terlantar di katil hospital sehingga hari ini.
"Sebaik saja keluarga saya tiba di lapangan terbang, ayah saya tiba-tiba pengsan dan semuanya berubah selepas itu. Saya panik dan tertekan kerana ayah saya tidak dilindungi insuran perjalanan.
"Keadaan tambah sukar apabila kami juga tidak mampu menampung bil hospital di sini," kata anak keduanya, Amirah Mohamad Sahar, menerusi laman web Gofundme.
Menurut Amirah, selepas hampir sebulan menerima rawatan di Charing Cross Hospital, West London, tiga minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU), bil rawatan ayahnya mencecah £46,000 (RM245,764.92).
Dalam keadaan terdesak, doktor yang merawat memberitahu yang ayahnya perlu menjalani pembedahan dengan segera.
"Doktor gesa pembedahan dibuat dengan segera. Walaupun berdepan kekangan kewangan, kami tahu yang pembedahan itu sangat penting dan perlu dilakukan untuk mengurangkan tekanan pada otak dan memudahkan pengaliran keluar darah dari otaknya.
"Selepas tiga minggu ayah sudah boleh membuka kedua-dua matanya dan memberi respon ketika kami bercakap dengannya tetapi kami tidak pasti sama ada dia memahaminya atau tidak," katanya.
Beberapa hari selepas itu, Amirah mendapat berita bahawa MARA bersetuju untuk mendahulukan wang £30,000 (RM160,281.47) untuk tujuan rawatan.
Bagaimanapun, wang berkenaan masih belum mencukupi untuk menampung bil hospital yang semakin meningkat setiap hari.
Amirah kemudiannya memulakan kempen Gofundme dua hari lalu, dan jumlah kutipan telah melebihi amaun yang disasarkan iaitu lebih £27,000 (RM144,253.32) hasil sumbangan rakyat Malaysia dan pelayar internet yang prihatin dari pelbagai negara.
Mereka sekeluarga berhasrat untuk membawa Mohamad Sahar pulang ke Malaysia kerana kos rawatan yang lebih murah namun masih menunggu kelulusan daripada pihak hospital dan Malaysia Airlines Berhad (MAB).
"Ayah sekarang berada di Unit Hyper Acute Stroke (HASU) kerana dia perlu menjalani sesi terapi. Doktor sudah memberi keizinan untuk kami membawa pulang ayah, tetapi dengan syarat dia perlu berbaring di pengusung sepanjang masa dan perlu ditemani doktor serta jururawat.
"Malaysia Airlines pula mencadangkan agar kami membeli beberapa tempat duduk kelas Ekonomi kerana ia antara pilihan yang murah, dan sekarang ini masih menanti maklum balas selanjutnya daripada mereka," katanya.
Sementara menanti perkembangan seterusnya, mereka sekeluarga tetap bimbang dengan bil hampir £2,000 (RM10,685.43) sehari, akan meningkatkan kos keseluruhan.
Justeru dia sekeluarga memohon bantuan rakyat Malaysia mendoakan agar ayahnya sembuh dan dapat membantu mereka dari segi kewangan menerusi https://www.gofundme.com/saharnoor.
Kuala Lumpur: Bapa kepada empat anak, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, cukup teruja untuk menyambut Aidilfitri baru-baru ini bersama keluarga disamping menghadiri majlis graduasi anak perempuannya yang menamatkan pengajian Sarjana dari Brunel University, London.