Bukit Merah: Lebih 30 nelayan darat di Kampung Selamat, di sini, lega apabila keadaan air tasik di kampung berkenaan mula digenangi air beberapa hari lalu.
Lebih menggembirakan, nelayan tempatan kini sudah boleh menggerakkan sampan untuk keluar dan masuk tasik untuk menangkap ikan dan kembali menggunakan semula jeti pendaratan ikan yang sudah beberapa bulan terbiar akibat kemarau.
Penduduk, Saiful Nizam Mat Usin, 32, berkata, sejak beberapa hari lalu, daerah Kerian mula dilanda hujan lebat dan menyebabkan keadaan air tasik kembali meningkat.
Katanya, walaupun masih tidak seperti dulu, namun cukup menggembirakan kerana mereka meneruskan aktiviti utama sebagai nelayan darat.
“Nelayan begitu gembira berikutan dapat kembali mencari rezeki,” katanya.
Saiful Nizam berkata, bagi penduduk setempat pula suasana itu turut menggembirakan mereka.
“Jika dulu ia kering kini sudah dinaiki air malah sejak beberapa hari lalu kawasan ini dipenuhi dengan penduduk yang memancing.
"Kami bersyukur kepada Allah SWT, selepas hampir tiga bulan kemarau berlalu, tasik ini kembali pulih," katanya.
Sementara itu, Jurutera Jabatan Perairan dan Saliran, Hasmi Mat berkata, kedalaman tasik kini meningkat kepada kira-kira 7.5 meter.
Katanya, berdasarkan keadaan paras air semasa serta musim hujan yang mula melanda daerah ini pihaknya yakin tidak akan berlaku sebarang masalah menyalurkan air pada musim penanaman padi yang akan datang.
Bukit Merah: Lebih 30 nelayan darat di Kampung Selamat, di sini, lega apabila keadaan air tasik di kampung berkenaan mula digenangi air beberapa hari lalu.