Muar: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas pengawal keselamatan selepas mendapati dia bersalah menyebabkan kematian seorang warga emas berusia 77 tahun, dalam rompakan tiga tahun lalu.
Tertuduh, Zulkifli Mohamad, 37, didakwa melakukan rompakan di kedai runcit, Syarikat Perniagaan Choong, No 101, Jalan Jelawat, Taman Banang, Batu Pahat antara jam 12.01 tengah malam hingga 8.30 pagi, 22 November 2013.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin ketika menjatuhkan hukuman berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Menurutnya, tertuduh memulakan jenayah dengan melakukan rompakan, namun melakukan jenayah berat apabila berakhir dengan kematian.
Pada masa sama, katanya, tertuduh dengan sengaja memukul kepala mangsa, Law Pow Ling,menggunakan kayu besbol hingga menyebabkan kematian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguambela, P Thirumalai.