Nilai: Wanita warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala dipercayai dibunuh suaminya warga Myanmar dalam kejadian di rumah mereka di Taman Ros, Mantin dekat sini, pagi tadi.
Sumber berkata, mayat mangsa berusia 40-an itu ditemui jirannya dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah, kira-kira 11 pagi.
"Anak perempuan mangsa berusia tiga tahun ditemui selamat di dalam sebuah bilik.
"Jiran terbabit pergi ke rumah mangsa selepas hairan tidak melihat kelibat dua beranak itu di luar rumah seperti kebiasaannya. Dia ke rumah mangsa dan mendapati pintu tidak berkunci sebelum menemui mayat mangsa," katanya.
Menurutnya, wanita itu kemudian memaklumkan kejadian kepada polis dan sepasukan polis ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, mangsa dipercayai mati dibunuh awal pagi tadi dan mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat.
Sumber berkata, polis kini sedang giat memburu suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
kej.png
Nilai: Wanita warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala dipercayai dibunuh suaminya warga Myanmar dalam kejadian di rumah mereka di Taman Ros, Mantin dekat sini, pagi tadi.