Kuala Lumpur: "Bila saya jatuh saya fikir kalau saya berhenti, segala usaha saya selama ini adalah sia-sia. Saya bekerja keras dari petak 17 untuk ke posisi hadapan. Saya bekerja keras untuk terus ke depan.
“Pasukan banyak bekerja keras dan saya kena membayarnya. Saya pun tak menyangka saya boleh dapat mata. Saya cuma nak buat yang terbaik sebab saya bukan yang terbaik. Apa yang saya mampu adalah usaha sehabisnya."
Itu luahan pelumba Malaysia, Adam Norrodin daripada pasukan Drive M7 SIC Racing Team yang terjatuh dan menolak motosikalnya sehingga ke garisan penamat dalam saingan Moto3 Grand Prix Argentina, awal pagi tadi.
Semangat juang yang ditunjukkannya itu membolehkan dia mengutip lima mata untuk pasukan dan mengakhiri saingan di posisi ke-11 sehingga mendapat pujian orang ramai di laman sosial Facebook (FB).
"Saya amat fokus dan yakin ketika perlumbaan dan mampu buat yang terbaik, jadi saya sudah mengejar posisi paling hadapan yang saya mampu.
“Pada perlumbaan minggu ini di Argentina kita bekerja keras. Semasa kelayakan pertama kita bermula agak baik dalam Moto3, kita berada tak jauh daripada sasaran dan sentiasa dalam Top 20.
“Pada kelayakan saya sentiasa semakin baik daripada saingan di Qatar sebelum ini. Saya amat fokus dalam perlumbaan sebab tahu cuaca akan hujan.
“Jadi ketika sesi pemanas badan trek terlalu basah dan saya mula mendapat keyakinan dan bersedia untuk perlumbaan apabila posisi tidak jauh, berada di Top 10.
“Pada pusingan pertama saya berada dalam kedudukan ketiga dan saya terus mengejar (pelumba Belgium) Livio Loi untuk mendapat posisi lebih baik.
“Tetapi Jorge Navarro telah mengejar saya dari belakang dan memotong saya pada trek lurus jadi saya hanya kekal di belakang dia untuk konsisten pada perlumbaan.
“Saya cuba memotong Navarro semula pada selekoh kedua terakhir tapi agak malang sebab saya tidak menjangka ada sedikit air pada laluan berkenaan sebelum terjatuh.
“Tapi kami bermula kuat minggu ini dan buat yang terbaik. Saya amat berterima kasih kepada pasukan sebab tidak putus asa mengajar saya, memberi motivasi dan menaikkan semangat untuk buat yang terbaik.
“Saya ingin ucapkan beribu-ribu terima kasih kepada rakyat Malaysia sebab banyak membantu dan sentiasa sokong saya daripada mula sehingga sekarang.
“Tanpa kamu semua saya mungkin tidak akan berada di sini. Saya akan cuba lagi pada perlumbaan akan datang," katanya.
Adam terjatuh di selekoh pada lap terakhir ketika merebut posisi kedua dengan Navarro.
Pusingan kedua di Litar Termas de Río Hondo, Argentina itu dimenangi rakan senegara, Khairul Idham Pawi daripada pasukan Honda Team Asia sekaligus rakyat Malaysia pertama menang Kejuaraan Motosikal Dunia.
Berita berkaitan
Khairul Idham juara Moto3 GP Argentina: http://hmtro.com/1qiApUW
AF0936963
Kuala Lumpur: "Bila saya jatuh saya fikir kalau saya berhenti, segala usaha saya selama ini adalah sia-sia. Saya bekerja keras dari petak 17 untuk ke posisi hadapan. Saya bekerja keras untuk terus ke depan.